bila la nak mula aktif..


Dah lama xjenguk blog ni...almaklumla asal kejadian pon dsebabkan asgmnent...kalo ikut hati nak msukkan macam2 info terutama tentang masakan...ntah bila nak mula nih..ntah ingat ke x cara nak msukkan gmbr dan benda2 lain...

Takut plak kalo dh start belek blog ni ...xmgdp buku langsung lak..nak exam xlama lg nih...harinih saja nak ambil mood merapu2 dulu nak mengingat step2 msukkan bhn2 pe2 yg patut..lgpon hrni sibuk kemas beg nak balik kampung..esok kenduri kawin adik ipar. ingatkan dapat la buatkan kek untuk wedding Za tapi mak mertua dah tempah kek kat kedai. Mak mertua ingat saya xlarat nak buat kek sbb skrg dah pregnant 10mggu. Kalo ikut hati mmg xlarat sangat. ada jugak alahan pening and rasa loya..tapi kalo bab buat kek sanggup tahan mabuk2 semua tuh semata-mata kerana KEK...

Persiapan untuk buat kek dah buat dr mggu lepas..siap beli beberapa buah buku untuk decoration nak buat kek guna fondant ..beli peralatan lengkap lagi...study Youtube step nak deco kek xpayah cakap la...kalah study utk exam..hahaha xtau la pasal apa minat sangat pasal buat kek...tapi tuh la..dh xjd nak buat kek lak...sedey pon ada..spatutnya rasa hapy sbb blh rileks ...

Terfikir nak buat kek untuk next wedding 15Jun ni untuk adik lelaki .harap2 tercapai hajat nak buat kek guna fondant..takut jugak xsempat cuz..14& 15Jun exam Upsi dah bermula..hari apala nak kene buat kek tuh....kelam kabut jugak ni....semoga Allah permudahkan urusanku.. 

Kata Perintah


KATA PERINTAH

Kata perintah ialah kata yang digunakan untuk memberikan sesuatu perintah, larangan, silaan, permintaan, dan sebagainya.
Contoh kata perintah dalam bahasa Melayu adalah seperti yang berikut:-

harap, jangan, jemput, minta, sila, tolong dan usah
 
 



Perhatikan penerangan di bawah ini.

Kata Perintah
Penerangan
Ayat Contoh

Harap
Untuk menyatakan maksud keinginan untuk mendapatkan sesuatu atau meminta dilakukan sesuatu.
1. Harap tinggalkan tempat ini dengan 
    segera.
2. Harap dia masih mengingati saya.
Jangan
Untuk menyatakan maksud larangan atau tidak boleh melakukan sesuatu atau melarang seseorang daripada melakukan sesuatu.
1. Jangan berganjak dari sini.
2. Jangan berdiri melepasi kawasan yang 
    telah ditandakan itu.
Jemput
Untuk menyatakan maksud mengajak atau mengundang.
1. Jemput ke rumah saya petang nanti.
2. Jemputlah sedikit makanan itu dan 
    janganlah segan.
Minta
Untuk menyatakan maksud ingin akan sesuatu.
1. Minta orang ramai tunggu sebentar.
2. Minta beredar mengikut barisan.
Sila
Untuk meminta seseorang melakukan sesuatu dengan cara hormat/beradab.
1. Sila letakkan kad pengenalan diri di sini.
2. Sila duduk sebentar, encik akan dilayan
   sebentar lagi.
Tolong
Untuk menyatakan maksud meminta pertolongan atau bantuan atau minta melakukan sesuatu untuknya.
1. Tolong jangan ganggu saya lagi.
2. Tolong alihkan buku ini ke sana.
Usah
Untuk menyatakan maksud larangan/tegahan daripada melakukan sesuatu.
1. Usah derhaka kepada ibu bapa.
2. Usah biarkan adik kamu itu bermain 
    hujan.

Contoh:
1.a)         “Tolong jangan petik bunga-bunga di taman larangan ini” kata petugas itu kepada
orang ramai yang berkunjung ke taman itu. (X)
   b)         “Jangan petik bunga-bunga di taman larangan ini” kata petugas itu kepada
orang ramai yang berkunjung ke taman itu. (√)
2.a)         “Harap jangan kamu sakiti hati ibu kamu,” pesan ayah kepada kakak Munira. (X)
                   b)         “Jangan kamu sakiti hati ibu kamu,” pesan ayah kepada kakak Munira. (√)


Kata Pemeri


KATA PEMERI

Kata pemeri ialah kata yang berfungsi sebagai penghubung antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam ayat. Kata pemeri ini berfungsi sebagai penegas predikat sesuatu ayat. Oleh itu, kata pemeri ini dikenali sebagai kata penegas juga. Dalam bahasa Melayu baku, kata pemerinya adalah seperti yang berikut:-
                               
ada,   ialah   adalah
 
 



Perhatikan penerangan di bawah ini.

Kata Pemeri
Penerangan
Ayat Contoh

ada
Digunakan untuk menegaskan kesungguhan pada makna frasa kerja atau perbualan
1   “Beberapa hari lepas Fuad ada 
     menghubungi saya,” kata Jumat.
2   “Fandi ada mengutus surat 
      kepada saya sebanyak dua kali 
      sejak dia berpindah ke Kedah,”  
      kata Johnny.
ialah
Digunakan untuk menegaskan kesungguhan pada makna frasa nama dan frasa sendi
1   Rumah banglo mewah ini ialah  
      rumah Datuk Hamzah.
2   Bungkusan hadiah itu ialah  
     daripada kenalan barunya itu.
adalah
Digunakan untuk menegaskan kesungguhan pada makna frasa nama dan frasa sendi
1   Eda adalah anak emas kepada 
      pasangan Datin Lily dan Dato’ 
      Munir.
2   Tujuan malam amal itu diadakan 
     adalah untuk mengutip derma  
     bagi mengisi tabung bantuan 
     pesakit jantung berlubang.

·  Untuk menegaskan kesungguhan pada makna frasa adjektif, hanya kata pemeri adalah saja yang paling sesuai digunakan.

       Contoh:

                1.   Penerangan yang diberi oleh penceramah pada malam itu adalah jelas sekali.
                2.   Kiraan yang dibuat oleh juruwang itu adalah tepat sekali.

 

·  Dalam penulisan atau binaan ayat, elakkan daripada melakukan kesalahan seperti yang berikut:-
       1.   Kesalahan menggunakan kata pemeri ialah untuk menegaskan kesungguhan pada makna
             frasa adjektif dalam ayat.

       Contoh:

1. a)   Kebanyakan huruf pada helaian buku itu ialah kabur. (X)
    b)   Kebanyakan huruf pada helaian buku itu adalah kabur. (√)

 

       2.   Kesalahan menggunakan kata pemeri adalah untuk menegaskan kesungguhan pada  
             makna frasa kerja dalam ayat.

       Contoh:

1. a)   Adalah diumumkan bahawa pemenang bagi pertandingan pidato pada tahun ini ialah
          Saudara Shahrir Arman. (X)
    b)   Dengan ini diumumkan bahawa pemenang bagi pertandingan pidato pada tahun ini
           ialah Saudara Shahrir Arman. (√)


Kata Kerja


KATA KERJA

Kata kerja dapat didefinisikan sebagai perbuatan/perlakuan/keadaan melakukan sesuatu. Secara umumnya, kata kerja dapat dibahagikan kepada tiga kumpulan utama, iaitu:
a)   Kata kerja tak transitif
                b)   Kata kerja transitif
                c)   Kata kerja terbitan

Kata Kerja Tak Transitif
Dalam pembentukan ayat, kata kerja tak transitif tidak memerlukan objek sebagai penyambut, kerana kata kerja tak transitif telah sempurna maksudnya. Kata kerja tak transitif dapat dibahagikan kepada beberapa bentuk seperti di bawah ini:

Bentuk Kata Kerja Tak Transitif

Asal
Berawalan
beR-
Berawalan
meN-
Berawalan
teR-
Berapitan
beR-…-an
Berapitan
beR-   -kan
celik
cicir
datang
duduk
gagal
ingat
jalan
tidur
beradu
beredar
berbaring
bergurau
berjuang
bekerja
berlari
berjalan
menginap
melambung
melawan
melawat
melompat
memancar
menangis
menyala
tercengang
terduduk
termenung
terjatuh
terlambat
tersenyum
tertidur
terbaring
berasakan
berciciran
berdekatan
berjauhan
berkeliaran
berlainan
berlampiran
bermusuhan
beratapkan
beralaskan
berlapikkan
berbantalkan
bermandikan
berpandukan
berdasarkan
berbekalkan

Contoh penggunaan dalam ayat.
1.   Adik sedang tidur.
2.   Ayah sedang berbaring di atas sofa.
3.   Anak kecil itu menangis.
4.   Ibu kelihatan tersenyum sejak tadi.
5.   Pondok usang itu beratapkan atap rumbia.


Kata Kerja Transitif
               
Dalam pembentukan ayat, kata kerja transitif memerlukan objek (frasa nama) sebagai penyambut atau pelengkap.

Perhatikan jadual kata kerja transitif di bawah ini.

Subjek
Predikat
Kata kerja transitif  
                      Objek
1.       Zaidi          
2.       Ah Meng     
3.       Salim      
4.       Mereka                                          
mengetuk
merebus
menunggang
memuji
pintu itu.
telur.
kuda.
Zamani.

1.   Kata kerja transitif terbahagi kepada dua bentuk, iaitu kata kerja transitif aktif dan kata kerja
       transitif pasif.
2.   Kata kerja transitif aktif terdiri daripada kata kerja yang berawalan meN-, meN-…-i, mempeR-…-i,
      mempeR-, berapitan meN-…-kan, dan berapitan mempeR-…-an.
3.   Kata kerja transitif pasif terdiri daripada kata kerja transitif pasif berimbuhan beR-, di-, dan teR-
       dan kata kerja pasif tanpa awalan.

Perhatikan ayat-ayat di bawah ini.
1.   Seluarnya belum bergosok.
2.   Kasut itu digilapnya.
3.   Anak hartawan itu kena culik.

Kata Kerja Terbitan
Kata kerja terbitan terhasil daripada kata adjektif, atau kata nama atau kata hubung atau kata sendi nama yang diberikan imbuhan beR-, meN-…-i, meN-…-kan, mempeR-, mempeR-…-i, mempeR-…-kan.

Perhatikan jadual kata kerja terbitan di bawah ini.

Jenis Kata
Kata Dasar
Kata Kerja Terbitan

Kata Adjektif
besar
calar
ganas
memperbesar
mencalarkan
mengganas
Kata Nama
bunga
ubat
berbunga
mengubati
Kata Hubung
kecuali
serta
mengecualikan
menyertai
Kata Sendi Nama
oleh
untuk
memperoleh
memperuntukkan

Contoh penggunaan dalam ayat:
1.   Pokok mangga itu belum berbuah.
2.   Saya bercadang untuk menyertai perarakan itu.
3.   Mereka memperoleh keuntungan yang banyak hasil daripada jualan buku itu.

·  Kata kerja transitif mestilah diletakkan awalan beR- atau meN-atau teR- .
·  Kata kata lain tidak boleh diletakkan di antara kata kerja transitif dengan objek dalam ayat.
·  Jika terdapat frasa nama yang mengikuti kata kerja transitif dalam ayat, kata nama tersebut mestilah diletakkan kata sendi namanya.
·  Kata kerja pasif diri pertama dan kata kerja pasif diri kedua perlulah dibezakan daripada kata kerja
       pasif diri ketiga.

Contoh:
·Kuih itu saya makan. (kata kerja pasif diri pertama)
·Kuih itu awak makan? (kata kerja pasif diri kedua)
·Kuih itu dimakan oleh mereka. (kata kerja pasif diri ketiga)

Kata Hubung


KATA HUBUNG

Kata hubung ialah kata yang berperanan atau berfungsi untuk menggabungkan kata dengan kata, ayat dengan ayat atau frasa dengan frasa. Dalam bahasa Melayu baku, kata hubung dapat dibahagikan kepada tiga bahagian utama, iaitu kata hubung gabungan, kata hubung pancangan dan kata hubung berpasangan.

Kata Hubung Gabungan
Kata hubung gabungan ialah kata hubung yang digunakan untuk menggabungkan kata dengan kata, frasa dengan frasa dan klausa dengan klausa.

Contoh:
                atau, bahkan, dan, lalu, kecuali, manakala, melainkan, padahal, sambil, seraya, serta, tetapi

Kata Hubung
Fungsinya
Contoh Penggunaan dalam Ayat

atau
Menunjukkan pilihan
1. Kim belum pasti sama ada akan melanjutkan 
    pelajarannya ke maktab atau ke universiti.
2. “Awak atau saya yang perlu menyiapkan 
    tugasan ini, Zul?” tanya Amin.
dan
Menggabungkan dua unsur yang setara
1. Anjing dan kucing itu dipelihara oleh orang 
   kaya itu.
2. Ah Seng dan Karim pergi memancing di 
   lombong tinggal itu.
kecuali
Menunjukkan kekecualian
1. Semua murid di kelas itu membaca buku di 
    perpustakaan kecuali Shamsudin.
2. Datuk Salleh bekerja setiap hari kecuali pada 
    hari Ahad atau hari kelepasan am.
lalu
Menggabungkan dua perbuatan yang dilakukan secara berturut-turut
1. Milah masuk ke bilik lalu berbaring di atas 
    tilam yang empuk itu.
2. Anjing garang itu menerkam pencuri itu lalu
    menggigit punggungnya.
serta
Menyatakan maksud turut atau bersama-sama
1. Aliah rajin serta gigih berusaha.
2. Ali, Muthu, Salleh, dan Zaidi serta Farid
   bercadang untuk pergi menonton wayang pada 
   hari minggu ini.
sambil
Menunjukkan perbuatan lain dilakukan di samping perbuatan utama
1. Sally menyanyi sambil menari.
2. Kamala berlari sambil menjinjing beg plastik.
tetapi
Menggabungkan ayat dengan ayat yang lain
1. Amran suka makan nasi lemak tetapi dia tidak 
    suka makan roti canai.
2. Rumah banglo itu sungguh cantik tetapi 
    harganya terlalu mahal.


Kata Hubung Pancangan

Kata hubung pancangan ialah kata hubung yang digunakan untuk membentuk ayat pancangan.

Contoh:
                apabila, agar, jika, kalau, kerana, meskipun, selama, sekiranya, semenjak, selagi, sementara,
sungguhpun, supaya, walaupun, ketika

Perhatikan rajah penggunaan kata hubung pancangan yang berikut.


Kata Hubung
Fungsinya
Contoh Penggunaan dalam Ayat

agar
Menerangkan maksud/tujuan
1. Ibu berdoa agar abang lulus dengan cemerlang dalam 
    ujian memandu itu.
2. Kadir sanggup makan ubat yang pahit itu agar dia cepat 
    sembuh.
apabila
Menerangkan masa berlakunya sesuatu peristiwa/kejadian
1. Apabila ditegur, dia merajuk.
2. Dawai itu mengembang apabila dipanaskan.
kerana
Menunjukkan alasan/sebab
1. Kerana demam, dia tidak dapat mengambil bahagian
    dalam sukan itu.
2. Dia dimarahi oleh ayahnya kerana memecahkan sebiji
    gelas minuman.
manakala
Menunjukkan masa dan perkara yang bertentangan
1. Fauzi sibuk menyiapkan kerja sekolahnya manakala
    rakan-rakannya yang lain asyik bermain sahaja.
2. Mala sibuk menyiapkan hidangan untuk para tetamu yang datang manakala adik dan kakaknya sibuk melayan tetamu.
setelah/
sebelum
sejak
Menunjukkan masa
1. Setelah siap mengemas rumah, Ramlah menyiapkan
   kerja sekolahnya pula.
2. Sebelum ke bandar, Amran meminta keizinan ibunya 
    terlebih dahulu.
3. Sejak berpindah ke ibu kota, Azman jarang pulang ke 
    kampung.
supaya
Menerangkan maksud/tujuan
1. Ibu menyuruh kakak memberus gigi setiap hari supaya  
    gigi kelihatan cantik dan bersih.
2. Pamela menggunakan alat solek yang mahal harganya 
    supaya dia kelihatan lebih begaya dan cantik.

Kata Hubung Berpasangan

Kata hubung berpasangan ialah kata hubung yang digunakan secara berpasangan dalam satu ayat.
Contoh:
                baik…mahupun                                  kian…kian
                entah…entah                                       sedangkan…inikan pula
                bukan sahaja…bahkan juga            sungguhpun…namun
                makin…makin                                    bukan sahaja…tetapi juga
                sungguhpun…tetapi                           sama ada…atau
bagaimana…begitulah                      daripada…lebih baik
jangankan…pun                                 semakin…semakin

·  Kata hubung berpasangan ‘baik…mahupun’.
       Digunakan untuk menyatakan maksud sama sahaja.
       Ayat contoh:
                1.   Baik Rosli mahupun Jamal boleh menyertai pertandingan nyanyian itu.
                2.   Sebagai seorang nelayan yang bergantung hidup kepada laut, Pak Ali terpaksa turun ke
      laut juga baik dalam keadaan cuaca baik mahupun keadaan laut bergelora.

·  Kata hubung berpasangan ‘bukan sahaja…bahkan juga’.
       Digunakan untuk menyatakan maksud serta atau di samping itu juga.
       Ayat contoh:
                1.   Swee Kim bukan sahaja cantik bahkan juga berbudi bahasa.
                2.   Kamil bukan sahaja peramah bahkan juga pandai berjenaka.


·  Kata hubung berpasangan ‘daripada…lebih baik’.
       Digunakan untuk menunjukkan pertentangan maklumat.
       Ayat contoh:
                1.   Daripada membazir wang lebih baik saya menabung.
                2.   Daripada membuang masa lebih baik saya membaca buku.


Kata Bilangan


KATA BILANGAN

Kata bilangan ialah kata yang digunakan untuk menghitung atau membilang sesuatu. Dalam bahasa Melayu baku, kata bilangan terbahagi kepada enam jenis, iaitu:
                a)   Kata bilangan tentu
                b)   Kata bilangantak tentu
                c)   Kata bilangan himpunan
                d)   Kata bilangan pecahan
     e)   Kata bilangan pisahan
     f)   Kata bilangan tingkat

Perhatikan penerangan di bawah ini.

Jenis Kata
Keterangan
Penerangan
Ayat Contoh
Kata bilangan
tentu
Kata bilangan yang telah ditentukan jumlah atau bilangannya. Contoh: satu, tiga, enam, sepuluh, tiga ratus, lapan ribu, enam juta
1   Kerani itu sedang mengepit satu
     keping fail.
2   Dua buah kelapa muda itu telah
     ditebuk tupai.
Kata bilangan
tak tentu
Kata bilangan yang tidak diketahui jumlah/bilangannya. Contoh:
para, semua, sesetengah, banyak,
pelbagai
1   Semua penghuni kampung itu akan
     dipindahkan ke tempat lain.
2   Banyak rumah dan harta benda
     musnah dalam kejadian banjir 
     lumpur itu.
Kata bilangan
himpunan
Kata bilangan himpunan asalnya
ialah kata bilangan tentu tetapi telah
digandakan dan ditambah dengan
imbuhan ke- dan ber-. Contoh: berpuluh-puluh, berjam-jam, ketiga-tiga, kelapan-lapan
1   Kedua-dua buah jambatan itu rosak
     teruk.
2   Sudah bertahun-tahun kejadian itu
     berlaku.
Kata bilangan
pecahan
Kata bilangan yang berbentuk
pecahan. Contoh: setengah, satu per
empat, dua per lima, tiga per lapan
1   Setengah bahagian kek itu telah 
     dihurungi semut.
2   Dia mengambil masa hampir tiga   
    per empat jam untuk menyiapkan 
   surat permohonan itu.

Kata bilangan
pisahan
Kata bilangan yang digunakan untuk
membilang sesuatu secara
berasingan. Contoh: tiap-tiap/setiap
dan masing-asing

1   Tiap-tiap petang, Pak Ali membawa
     cucunya itu bersiar-siar di taman  
     bunga.
2   Mereka gagal menyiapkan kerja
     masing-masing dalam masa yang  
     telah ditetapkan.
Kata bilangan tingkat
Kata bilangan yang asalnya kata
bilangan tentu tetapi telah ditambah
dengan imbuhan ke. Contoh: ketiga, ketujuh, kedua belas, ketiga ratus, kedua juta

1   Setelah masuk hari yang ketujuh
     barulah dia berasa badannya agak
     ringan sedikit.
2   Zainah memilih nombor giliran
    kedua untuk temuduga jawatan 
    kerani itu.

·  Dalam penulisan elakkan daripada melakukan kesalahan seperti yang berikut:-
1.       Kesalahan tidak meletakkan penjodoh bilangan kepada kata nama konkrit yang dibilang 
       dengan menggunakan kata bilangan tentu.
              Contoh:
 a)  Lima guli itu telah retak. (X)
                 b)  Lima biji guli itu telah retak. (√)
2.       Kesalahan menggandakan kata nama konkrit yang dibilang dengan menggunakan kata 
       bilangan tentu yang telah sedia membawa makna jamak.
              Contoh:
a)  Sepuluh buah kilang-kilang di kawasan itu beroperasi secara haram. (X)
                b)  Sepuluh buah kilang di kawasan itu beroperasi secara haram. (√)

       3.   Kesalahan meletakkan penjodoh bilangan bagi kata nama konkrit yang dibilang dengan 
             menggunakan kata bilangan tak tentu.
             Contoh:
a)  Banyak orang pelajar lulus dalam ujian sains itu. (X)
                b)  Banyak pelajar lulus dalam ujian sains itu. (√)

       4.   Kesalahan menggandakan kata nama konkrit yang dibilang dengan menggunakan kata 
             bilangan tak tentu.
             Contoh:
a)  Para guru-guru diingatkan agar mengambil sikap berkecuali. (X)
                b)  Para guru diingatkan agar mengambil sikap berkecuali. (√)

       5.   Kesalahan menulis singkatan kata bilangan himpunan dalam ayat.
             Contoh:
a)  Kelapan ekor anak lembu itu akan dihantar ke klinik haiwan. (X)
                b)  Kelapan-lapan ekor anak lembu itu akan dihantar ke klinik haiwan. (√)

       6.   Kesalahan tidak meletakkan penjodoh bilangan kepada kata nama konkrit yang dibilang 
             dengan menggunakan kata bilangan himpunan.
             Contoh:
a)  Kedua-dua bakul itu penuh berisi sayur. (X)
                b)  Kedua-dua buah bakul itu penuh berisi sayur. (√)

         7.   Kesalahan menggunakan kata bilangan tak tentu para menjadi para-para.
               Contoh:
a)  Para-para menteri itu sedang bermesyuarat. (X)
                b)  Para pelajar itu berasal dari Jepun. (√)

         8.   Kesalahan menulis ringkas kata bilangan tak tentu berbagai-bagai menjadi berbagai sahaja.
               Contoh:
a)  Berbagai barang antik ada dipamerkan di situ. (X)
                b)  Berbagai-bagai barang antik ada dipamerkan di situ. (√)

         9.   Kesalahan menulis singkat kata bilangan pisahan tiap-tiap menjadi tiap sahaja.
               Contoh:
a)  Tiap petang dia bermain badminton. (X)
                b)  Tiap-tiap petang dia bermain badminton. (√)


SELAMAT DATANG KE LAMAN NUKILANKU

Takwim